Mengapa Wanita Tidak Minat Berkahwin?Kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun bahawa pendapatan dan kelayakan akademik yang tidak setaraf adalah antara punca wanita di negara ini sukar berkahwin dengan lelaki tempatan.
Ramai antara wanita di negara ini tidak berminat untuk berkahwin walaupun telah berusia lebih 30 tahun kerana tidak menemui lelaki yang dapat memenuhi kriteria yang dikehendaki.
Saya percaya pernyataan ini membuatkan ramai lelaki tempatan ‘terkedu’ terhadap diri mereka yang dikatakan tidak dapat memenuhi kriteria sebagai calon suami dan dalam masa yang sama ‘terharu’ dengan nasib wanita-wanita tempatan yang berkelayakan tinggi ini.
MenjangkauApabila memperkatakan mengenai wanita yang tidak berminat untuk berkahwin walau usia telah menjangkau 30-an, kita sebagai ahli masyarakat perlulah melihat isu ini secara spesifik dan rasional dan tidak berdasarkan emosi semata-mata.
Marilah kita melihat senario ini dengan teliti dan memfokuskan minda dan pandangan kita dengan telus, teliti dan tepat agar dapat sama-sama kita suai padankan antara realiti kehidupan dengan fantasi.
Bagi wanita di zaman ini, umur 28 hingga 30 tahun dianggap umur matang dan sangat sesuai untuk mendirikan rumah tangga dan masyarakat juga sudah menerima tahap umur ini sebagai penanda aras untuk mendirikan rumah tangga.
Bagaimana pula dengan pihak eksekutif lelaki di peringkat umur 28 hingga 30 tahun? Adakah mereka bersedia untuk berumah tangga?
Kebanyakan lelaki pada peringkat ini masih terkial-kial dan tercari-cari hala tuju dan pengukuhan jati diri bagi membina kehidupan. Bagi pihak lelaki yang berkerjaya pula, peringkat umur antara 30 hingga 35 tahun adalah paling sesuai untuk memikirkan soal jodoh dan membina hidup berkeluarga.
Tetapi pilihan lelaki bujang dan di peringkat umur 30-an ini pula adalah lebih memilih kepada wanita yang muda, menarik dan manja sebagai pasangan mereka dan berkemungkinan tidak menoleh pandangan pada wanita yang telah mencecah usia 30-an.
JodohIni juga antara penyebab mengapa wanita berkelulusan tinggi dan di peringkat usia 30-an sukar menemui jodoh dengan lelaki bujang yang sebaya dan setaraf dengan mereka.
Kelulusan akademik wanita yang tinggi dikatakan menjadi punca mengapa wanita sukar mendapat jodoh dan akhirnya tidak berminat untuk berkahwin.
Jika kita lihat kepada faktor ini memang ada kebenarannya kerana kaum wanita memenuhi hampir sebahagian besar kerusi kuliah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
Kalau kita ambil contoh, enam pelajar wanita di IPT bersamaan dengan seorang pelajar lelaki di IPT, secara congaknya sudah tentulah lima orang pelajar wanita di IPT tersebut akan terkial-kial mencari lima lagi pelajar lelaki sebagai pasangan mereka.
Tetapi masalahnya mana lagi lima pelajar lelaki yang boleh dijadikan pasangan pelajar wanita itu. Secara terasnya analogi mudah ini perlu kita lihat dengan telus kerana tidak semua wanita terpelajar itu memilih kerana masalahnya tidak ada lelaki yang juga berkelulusan tinggi setaraf dengan mereka untuk dipilih.
Maknanya di sini, permintaan terhadap lelaki terpelajar ramai, tetapi penawarannya pula kurang.
Wanita yang berkelulusan tinggi sudah tentu akan mempunyai kerjaya yang stabil dan berkemampuan memiliki mobil dan membayar bil-bil mereka sendiri tanpa mengharapkan orang lain.
KomitmenKerjaya ada kalanya menuntut sebahagian besar masa dan komitmen wanita tersebut sehingga terleka dan terlena di meja pejabat dan di atas sofa di rumah kerana kepenatan minda dan fizikal dalam memenuhi tuntutan kerjaya.
Dalam satu laporan akhbar menyatakan bahawa wanita Hong Kong enggan berkahwin kerana mengutamakan kerjaya dan fenomena ini semakin ketara di bandar raya Hong Kong ketika ini sehingga menyebabkan golongan lelaki Hong Kong terpaksa merantau mencari calon isteri di tanah besar China.
Dalam konteks di Malaysia pula, keadaannya hampir sama dengan wanita yang berkelulusan tinggi ini lebih fokus kepada kerjaya bagi mempertingkatkan taraf hidup di samping jaminan untuk masa depan mereka.
Wanita berkerjaya terlalu sibuk mengurus, mengawal, mengorganisasi dan merancang pelbagai aspek pekerjaan sehingga mereka terlupa untuk dating dan meeting.
Tidak dinafikan wanita berkerjaya berkemampuan untuk bergaya anggun dengan fesyen terkini dan sensasi dari hujung rambut ke hujung kaki. Dengan fesyen dan gaya yang hebat serta sentuhan kosmetik di wajah menjadikan kaum lelaki ‘geram’ tapi ‘gerun’ untuk mendekati wanita-wanita berkerjaya dan berjaya ini.
AnggunBagi wanita-wanita anggun ini pula seolah-olah meletakkan signal ‘boleh di pandang, di dekat jangan’ jika tidak setaraf dengan gaya dan keanggunan wanita itu.
Keadaan ini menjadikan lelaki tempatan yang kurang keyakinan diri kerana merasa diri banyak kekurangan dari segi paras rupa, kewangan dan kelulusan takut untuk mendekati wanita-wanita ini.
Apa kesannya pada wanita? Dibimbangi keadaan ini menjadikan wanita-wanita yang anggun dan bergaya ini akhirnya ‘terpegun’ apabila menyedari umur mereka sudah mencecah 30-an dan tidak ada seorang lelaki pun yang berani mendekati mereka kerana keanggunan mereka itu.
Dengan yang demikian, golongan wanita ini perlulah menerima ketentuan Ilahi bahawa jodoh pertemuan itu adalah di tangan Tuhan dan masyarakat juga perlu percaya kepada ketentuan Ilahi dan berilah sokongan dan motivasi kepada golongan wanita yang tidak berkahwin ini supaya mereka juga boleh mencipta bahagia dalam kehidupan mereka.
* DR. RUSINAH SIRON ialah Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan,Universiti Tenaga Nasional.
Nota:Tersenyum-senyum aku baca rencana(Utusan Malaysia)ini.Satu teori yang sungguh menarik.